May 1, 2015

Syoknya tambah bahasa komunikasi!

Bonjour. Hari ni saya nak kongsi sedikit berkenaan bahasa.

Alhamdulillah, semester ini diberi peluang untuk mempelajari bahasa Perancis. Bahasa asing (iaitu bahasa ketiga selepas Inggeris) menjadi subjek wajib ambil bagi pelajar Sains Komputer. Terdapat beberapa pilihan subjek bahasa asing antaranya Mandarin, Perancis dan Jepun.

Sudah semestinya bagi pelajar kita perlu menjustifikasikan pilihan kita. Antara sebab saya memilih untuk mempelajari bahasa Perancis kerana bahasa Perancis adalah antara bahasa yang menggunakan tulisan rumi. Sekaligus memudahkan saya mempelajari lenggok bahasa dan penggunaan kata dengan lebih cepat. Berbeza dengan bahasa yang yang ditawarkan seperti Mandarin dan bahasa Jepun, mereka mempunyai simbol huruf yang tertentu sebelum kita boleh menguasainya. Bahasa Perancis mirip dengan bahasa Inggeris. Jadi oleh kerana bahasa kedua saya ialah bahasa Inggeris kenapa tidak saya mempelajari bahasa klasik seperti bahasa Perancis sebagai permulaan.

Ada orang belajar bahasa disebabkan pengaruh oleh sesuatu. Contohnya seperti Jepun. Ada sesetengah minat bahasa Jepun disebabkan anime atau manga Jepun. Dari situ mereka dipupuk untuk mempelajari bahasa Jepun.

Bagi saya pula, antara yang mendorong saya untuk memilih bahasa Perancis ialah bukan Perancis itu sendiri tetapi Turki. Saya berhajat untuk menyambung pelajaran atau menimba pengalaman ke Turki. Tetapi oleh kerana tiada bahasa Turki yang ditawarkan maka saya memilih untuk belajar bahasa Perancis.

Selain itu, saya memilih bahasa Perancis kerana budaya dan masyarakatnya. Sebelum ini saya tahu serba sedikit tentang negara Turki. Jadi apa salahnya memahami budaya negara Eropah yang selain seperti Perancis. Kerana Perancis juga seperti Turki merupakan antara kuasa besar satu ketika dahulu. Dari situ saya baru tahu yang bahasa Perancis ini turut digunakan hampir di beberapa buah negara termasuk Kanada, Mauritus dan beberapa negara Afrika dan Madagascar. Sebab itulah bahasa Perancis ini menjadi bahasa pengantaraan utama di dunia berbanding bahasa Inggeris dan Mandarin.

Saya termotivasi untuk mempelajari bahasa asing daripada Sultan Muhammad al-Fateh. Baginda menguasai 7 bahasa pada waktu yang sangat muda. Ada ahli hikmah mengatakan nak kuasai dunia perlu kuasai bahasa. Jadinya bahasa juga sangat penting dalam kehidupan seharian. Selain kita belajar bahasa, kita akan didedahkan juga dengan adat budaya setempat. Secara tidak langsung akan menjadikan kita faham dan sedar tentang kewujudan masyarakat yang berbeza dengan kehidupan kita di Malaysia.

Secara tidak sedar saya sudah mempunyai tiga bahasa komunikasi. Bahasa Melayu (bahasa Malaysia), bahasa inggeris dan bahasa Perancis. Adapun bahasa Arab, saya masih ketinggalan untuk menguasainya. Mungkin teknik dan cara pembacaan yang perlu diperbaiki. Ada beberapa teknik untuk kita menguasai sesuatu bahasa.

1) banyakkan membaca menggunakan bahasa tersebut (tahu untuk susun ayat)
2) banyakkan menulis menggunakan bahasa tersebut (tahu menggunakan ayat)
3) cari perkataan yang pertama kali dengar (cari kosa kata)
4) buat ayat dengan perkataan tersebut (sama dgn poin 2)
5) dengarkan cara sebutan ayat. (tahu cara sebutan)
6) banyak bergaul dengan orang tempatan kepada bahasa tersebut.

Teknik ini turut digunakan oleh beberapa pelajar antarabangsa yang mempelajari bahasa Melayu dengan serius. Walaupun sebutan tidak kena, namun mereka tetap menggunakan dan mempelajarinya. Itulah konsep pembelajaran luar kelas.

InsyaAllah, sampai di sini sahaja perkongsian pada hari ini. Doakan pembelajaran bahasa Perancis saya berakhir dengan jayanya dan semoga dapat menambah dua tiga bahasa lagi. Saya berharap dapat menguasai bahasa Arab, bahasa Korea dan bahasa Turki. Amin.

Jumpa lagi.