January 11, 2012

Muhasabah Diri Menggunakan Kamera

Hidup ini umpama roda. Ada kalanya kita di atas. Ada kalanya kita di bawah. Walau di mana pun kita berada kita tetap tidak lari dari roda ini.

Muslim wajib percaya kita akan dibangkitkan di padang masyhar kelak dan segala amalan kita akan dihitung. Pernah dikisahkan bahawa Allah akan memaparkan kisah kita melalui gambaran yang mana seluruh umat manusia akan menonton 'kisah' kita kelak. Terbukalah aib seorang manusia atas segala perilakunya di dunia.

Allah 'merakam' segala perbuatan kita di dunia setiap detik tanpa tertinggal satu pun. Semasa kita makan, menonton TV mahupun sedang berblogging di Internet! 

Mengambil ibrah dari kisah di atas, saya mengambil inisiatif penting dalam memastikan kita terus beristiqomah dalam perjuangan yang panjang ini. 

Kamera


Kamera ialah alat yang digunakan untuk merakam imej sebagai gambar foto yang pegun atau satu susunan imej bergerak. Istilah ini serta kamera masa kini berevolusi dari camera obscura atau 'bilik gelap' suatu mekanisme awal bagi memaparkan imej yang mana seluruh bilik yang berfungsi sebagai sistem penghasilan imej tepat pada masa. Kamera obscura dicipta oleh ahli sains Muslim bernama Abu Ali Hasan Ibn Al-Haitham dan disifatkan dalam buku beliau bertajuk 'Kitab al-Manazir'.

Imej yang dirakam dari kamera ciptaan manusia tidak sama dengan rakaman ciptaan Allah. Sungguh beza sehinggakan tidak mampu kita memikirkan dengan akal yang lemah ini. Namun segala pengajaran dan iktibar boleh diambil darinya.

Kamera membolehkan kita merakam apa sahaja yang kita lihat. Umpama mata, yang mampu melihat segala-galanya dengan batas tertentu dan disimpan di storan otak. Namun agak sukar jika kita mahu memperlihatkan semula segala gambaran-gambaran yang disimpan. Maka kamera dijadikan satu rakaman supaya segala tindak tanduk dapat diperlihat semula.

Dengan kamera ini, kita mampu melihat segala gambaran yang dirakam sebelumnya. Rakaman ini mampu membuat kita tersengih, sedih ataupun rindu dengan keadaan semasa mengambil gambar. Ini akan menunjukkan perasaan kita semasa perkara itu berlangsung.

Muhasabah diri


Manusia mempunyai akal, namun amat sukar untuk memanggil semula ingatan yang telah lama disimpan di otak. Kebanyakan manusia lupa apa yang telah dilakukannya dengan mudah. Bak kata pemimpin Melayu; Melayu mudah lupa. Dan menyebabkan ramai manusia lalai dalam menyelusuri kelemahan diri. Ini menyebabkan kebanyakan manusia lari (lupa) dari tujuan asal menagapa mereka diciptakan.

Maka kamera boleh dijadikan alat untuk memperbaiki segala kelemahan ingatan kerana ini akan membuatkan manusia mudah untuk melihat kembali perbuatan yang lalu. Walaupun cara ini mungkin memerlukan sedikit usaha untuk bergambar, namun tidak salah kalau ada usaha dalam mengubah diri yang mana kita akan dihadapkan di mahkamah akhirat kelak.

Perkara penting dalam muhasabah adalah kita mengingat kembali apa perbuatan mungkar yang kita lakukan untuk diperbaiki. Namun persoalannya adakah ia lebih baik dari semalam? Adakah lebih teruk dari semalam? Atau adakah sama sahaja seperti semalam? Persoalan ini menyebabkan penulis merasakan perlunya suatu bukti untuk menunjukkan kita di tahap yang mana.

Kalau semalam kita dilihat bersama-sama dengan perempuan, yang mana dilihat oleh kamera manusia (dan sudah tentunya 'kamera' Allah), maka hari ini kita perelokkan akhlak. Dengan erti kata lain bermuhasabah apabila melihat kejahilan masih ada dalam diri.

Maka tontonilah ia seperti mana kita akan dipertontonkan di khalayak ramai. Tindakan ini bukanlah bertujuan untuk mengaibkan diri sendiri, tapi lebih kepada mewujudkan perasaan malu. Malu dengan perbuatan diri yang hanya banyak berkata-kata tapi tidak melakukan kata-kata tersebut.

Yang pasti ia mestilah dengan niat kerana Allah. Hanya kepada Allah kita kembali. Tujuannya hanyalah menetapkan diri di jalan yang Allah redhai kerana itu matlamat manusia pada asalnya.

Wallahualam.