June 27, 2012

Hanya di Malaysia

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang unik. Mengapa? Kerana di dalamnya terdapat pelbagai bangsa, Melayu, Cina dan India.

   Topik kali ini ingin membincangkan tentang keanehan politik di Malaysia. Sejarah bermula dari zaman Perdana Menteri Malaysia yang Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Diikuti Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kini, Perdana Menteri ke-6 disandang oleh Mohd Najib Abdul Razak, anak kepada Perdana Menteri Malaysia ke-2.

   Jadi apa ceritanya?

   Dahulunya pernah dibangkitkan tentang teori RAHMAN.
Bermula dengan PM (Perdana Menteri):-
ke-1: Rahman
ke-2: Abdul Razak
ke-3: Hussein
ke-4: Mahathir
ke-5: Abdullah
ke-6: Najib

Maka terhasillah 'RAHMAN'. Teori ini merupakan kaedah yang perlu dilaksanakan untuk melantik PM. Tidak pula diketahui sejarah pewujudan teori ini, tetapi ia menjadi bualan ramai dalam memilih PM. Jika hurufnya tiada kaitan dengan salah satu huruf teori ini maka beliau tidak akan dilantik. Begitukah?

Dalam sejarah tercatit bahwa PM ke-4 ketika itu mempunyai Timb PM iaitu Anwar Ibrahim yang antara calon yang sesuai dalam menjadi peneraju negara. Anwar juga turut dikaitkan dengan teori ini kebetulan namanya turut bermula dengan 'A'. Namun sejarah juga tercatit bahawa pada 1998 berlaku konspirasi yang mana turut berlaku reformasi politik.

   Timb PM yang difitnah itu kemudiannya dipecat dari jawatannya dan PM melantik pengganti bagi mengisi kekosongan jawatan. Maka Abdullah Ahmad Badawi dilantik menjadi Timb PM yang baru. Ada juga mengaitkannya dengan teori ini kononnya bagi melengkapkan teori RAHMAN. Kesahihannya berita ini masih khabar angin. Tetapi jika kebetulan ia sesuatu yang unik.

Sekarang teori ini telah berakhir. Maka siapa pula akan menjadi peneraju tampuk negara? Adakah tiba era pembangkang menguasainya? Mungkin PRU-13 menjadi medan menarik dalam arena politik negara. Mengapa? Kerana Malaysia ini unik.



May 10, 2012

Cuti Panjang...arghh!!!

Alhamdulillah. Setelah tiga tahun menjadi perantauan di negeri asing akhirnya aku kembali menetap di kampung halamanku. Tiga tahun yang difikirkan lama menjadi sekelip mata pemergiannya. Tak sangka aku dah habis pengajianku.

Dan apa pula selepas ini? Aku masih teraba-raba dalam pecarian. Apa nak buat ek cuti panjang? Duduk rumah sahajakah atau bermain sahajakah? Pilihan ditanganku. Kalau dahulu ada juga program waktu cuti semester seperti program JKM, program PMI dan tak lupa juga aktiviti persatuan yang lain.

Setelah menjadi alumni ni tak tahu nak buat apa. Rata-rata kawan-kawan yang lain semua sudah bekerjaya. Aku pula? Bekerjasukarela? Itulah perkataan pertama yang aku terfikir apabila ada orang kata "Kau buat apa cuti panjang ni?".

Sebelum peperiksaan akhir aku sudah terfikir bahawa cuti panjang ini akan ku isi dengan program yang berfaedah. Insyaallah dalam perancangan setiap malam aku ingin mengisi masa dengan program kerohanian. Bagi aku menambahkan lagi ilmu akhirat. Bak kata Ust Azhar hidup kita 24jam sehari, takkan tak boleh peruntukkan masa sejam untuk akhirat? Bukankah nanti kita hidup untuk akhirat? Hidup untuk mati. Bukan hidup untuk hidup bak kata Ust saifulislam.com (Ust Hasrizal).

Tapi waktu pagi nak buat apa? Kalau sebelum ni jam 8 pagi pasti kedengaran salam dari kawan-kawanku. Sama ada mengajak untuk sarapan bersama ataupun mengajak untuk bermain futsal. Boleh kata setiap hari ada sahaja aktiviti pagi. Sekarang? Semenjak kawan-kawan yang lain sudah bekerjaya susah nak dapat melakukan aktiviti pagi. Perancangan aku pula bagaimana?

Asalnya mahu sahaja aku menghadiri kelas bahasa Inggeris. Belajar untuk teruskan hidup. Menyesal yang tidak ada kesudahan apabila memikirkan balik tujuan asal belajar Bahasa Inggeris di sekolah hanya untuk lulus. Jauh sekali untuk digunakan dalam kehidupan seharian. Sekarang baru terasa susahnya jika tak mahir dalam bertutur Inggeris dengan baik. Insyaallah cuba untuk memfasihkan lidah untuk bahasa ini. Mohon doanya.

Belajar je ke? Mana nak korek duit untuk belajar bahasa ni? Kos nak bayar dah la tinggi. huhu

Nak je aku cari pendidikan percuma untuk bahasa Inggeris. Ada tak agak-agak? huhu

Insyaallah buat masa ni aku cuba untuk bekerjasukarela. Bulan depan baru fikir nak kerja atau tidak. hehe

*p/s: berharap di Johor ada program macam di Lembah Klang. Macam2 ada untuk isi masa yang terbazir ni, huhu

February 16, 2012

Alhamdulillah

Akhirnya setelah menunggu hampir sebulan, dapat juga aku mengemaskini blog yang sudah bersawang. Maklumlah susah nak access ke akaun baru-baru.

Akibatnya? Apabila menggunakan 2-verification step di Gmail anda memerlukan nombor telefon anda untuk dihantar kod untuk disahkan kemasukan kita. Tapi nombor itu telah pun dinyahaktifkan.

Nombor yang mana? Kenapa dinyahaktif nombor tu? Nombor dua akhirannya ***-*******49. Dinyahaktif sebab sudah lama tidak topup. Tu yang nyahaktif sendiri. Pada asalnya ambil UPAX - tamat tempoh 2017 kot. Tapi taktahu kenapa tiba-tiba nombor tu tarikh luput jadi 2012. Memang malas laa nak topup. Aku bukan macam orang lain. Super lonely, HAHA

So itulah sebabnya saya tak dapat masuk akaun ni. So apa-apa pun wish me luck test petang ni. Selamat berjaya. Enjoy your day!

January 11, 2012

Muhasabah Diri Menggunakan Kamera

Hidup ini umpama roda. Ada kalanya kita di atas. Ada kalanya kita di bawah. Walau di mana pun kita berada kita tetap tidak lari dari roda ini.

Muslim wajib percaya kita akan dibangkitkan di padang masyhar kelak dan segala amalan kita akan dihitung. Pernah dikisahkan bahawa Allah akan memaparkan kisah kita melalui gambaran yang mana seluruh umat manusia akan menonton 'kisah' kita kelak. Terbukalah aib seorang manusia atas segala perilakunya di dunia.

Allah 'merakam' segala perbuatan kita di dunia setiap detik tanpa tertinggal satu pun. Semasa kita makan, menonton TV mahupun sedang berblogging di Internet! 

Mengambil ibrah dari kisah di atas, saya mengambil inisiatif penting dalam memastikan kita terus beristiqomah dalam perjuangan yang panjang ini. 

Kamera


Kamera ialah alat yang digunakan untuk merakam imej sebagai gambar foto yang pegun atau satu susunan imej bergerak. Istilah ini serta kamera masa kini berevolusi dari camera obscura atau 'bilik gelap' suatu mekanisme awal bagi memaparkan imej yang mana seluruh bilik yang berfungsi sebagai sistem penghasilan imej tepat pada masa. Kamera obscura dicipta oleh ahli sains Muslim bernama Abu Ali Hasan Ibn Al-Haitham dan disifatkan dalam buku beliau bertajuk 'Kitab al-Manazir'.

Imej yang dirakam dari kamera ciptaan manusia tidak sama dengan rakaman ciptaan Allah. Sungguh beza sehinggakan tidak mampu kita memikirkan dengan akal yang lemah ini. Namun segala pengajaran dan iktibar boleh diambil darinya.

Kamera membolehkan kita merakam apa sahaja yang kita lihat. Umpama mata, yang mampu melihat segala-galanya dengan batas tertentu dan disimpan di storan otak. Namun agak sukar jika kita mahu memperlihatkan semula segala gambaran-gambaran yang disimpan. Maka kamera dijadikan satu rakaman supaya segala tindak tanduk dapat diperlihat semula.

Dengan kamera ini, kita mampu melihat segala gambaran yang dirakam sebelumnya. Rakaman ini mampu membuat kita tersengih, sedih ataupun rindu dengan keadaan semasa mengambil gambar. Ini akan menunjukkan perasaan kita semasa perkara itu berlangsung.

Muhasabah diri


Manusia mempunyai akal, namun amat sukar untuk memanggil semula ingatan yang telah lama disimpan di otak. Kebanyakan manusia lupa apa yang telah dilakukannya dengan mudah. Bak kata pemimpin Melayu; Melayu mudah lupa. Dan menyebabkan ramai manusia lalai dalam menyelusuri kelemahan diri. Ini menyebabkan kebanyakan manusia lari (lupa) dari tujuan asal menagapa mereka diciptakan.

Maka kamera boleh dijadikan alat untuk memperbaiki segala kelemahan ingatan kerana ini akan membuatkan manusia mudah untuk melihat kembali perbuatan yang lalu. Walaupun cara ini mungkin memerlukan sedikit usaha untuk bergambar, namun tidak salah kalau ada usaha dalam mengubah diri yang mana kita akan dihadapkan di mahkamah akhirat kelak.

Perkara penting dalam muhasabah adalah kita mengingat kembali apa perbuatan mungkar yang kita lakukan untuk diperbaiki. Namun persoalannya adakah ia lebih baik dari semalam? Adakah lebih teruk dari semalam? Atau adakah sama sahaja seperti semalam? Persoalan ini menyebabkan penulis merasakan perlunya suatu bukti untuk menunjukkan kita di tahap yang mana.

Kalau semalam kita dilihat bersama-sama dengan perempuan, yang mana dilihat oleh kamera manusia (dan sudah tentunya 'kamera' Allah), maka hari ini kita perelokkan akhlak. Dengan erti kata lain bermuhasabah apabila melihat kejahilan masih ada dalam diri.

Maka tontonilah ia seperti mana kita akan dipertontonkan di khalayak ramai. Tindakan ini bukanlah bertujuan untuk mengaibkan diri sendiri, tapi lebih kepada mewujudkan perasaan malu. Malu dengan perbuatan diri yang hanya banyak berkata-kata tapi tidak melakukan kata-kata tersebut.

Yang pasti ia mestilah dengan niat kerana Allah. Hanya kepada Allah kita kembali. Tujuannya hanyalah menetapkan diri di jalan yang Allah redhai kerana itu matlamat manusia pada asalnya.

Wallahualam.