November 26, 2011

Salam Maal Hijrah 1433: Perbaiki Iman dan Amal

1 Muharram tiba. 1433H menjelma. Apakah sudah mencapai objektif dan visi kita pada tahun yang lepas? Apakah misi kita berjaya untuk menggarap visi?

Bagiku ia adalah sekadar retorik, di mana hanya sekadar angan-angan dan omongon kosong sahaja jika kita tidak melaksanakan apa yang kita rancang. Bukan bermakna mahu menolak takdir, tapi sekadar renungan supaya tahun ini lebih baik dari tahun lepas, bulan ini lebih baik dari bulan lepas, hari ini lebih baik dari semalam.

PERANCANGAN YANG TELITI
Ingin sekali merasai kemanisan dalam kita merancang. Kita merancang, Allah juga merancang dan sesungguhnya perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan. Oleh itu berdoa dan bertawakallah sentiasa kepada Allah kerana apa yang kita telah lakukan berbalik padaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.

VISI DAN MISI
Visi ku pada tahun yang lepas adalah untuk menjadikan hidupku lebih teratur. Penjagaan masa dengan baik, aturan kerja yang mantap, pengurusan hidup yang teratur adalah menjadi visiku yang lepas kerana ia menjadi kesan dalam kehidupan. Bak kata pepatah arab,
"Masa ibarat pedang! Jika kita tidak menggunakan untuk memotong, ia akan memotong kita"
Di dalam Al-Quran turut dinyatakan tentang masa, Allah berfirman,
Demi masa, sesungguhnya manusia kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Mereka menyeru kepada kebenaran dan menyeru kepada kesabaran.(Surah Al-'Asr: ayat 1-3)
Oleh itu amatlah rugi jika kita tidak merancang masa dengan baik. Kerana masa Allah jadikan bukan untuk berpatah balik, tetapi adalah untuk digunakan dengan sebaiknya. Bertanya Imam Al-Ghazali bahawa apakah yang jauh dalam diri kita dalam dunia?  Yang paling jauh dari kita adalah MASA LALU. Walau dengan apa sekalipun kita tak akan dapat kembali kemasa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, esok dan hari-hari mendatang dengan perbuatan yang bersesuaian dengan Agama.

JIHAD FI SABILILLAH
Jihad kerana Allah menjadi misi dan visi ku dalam tahun ini. Walaupun ia telah bermula sewaktu akhiran semester 2 namun ia tidak terlaksana dengan baik. Pelbagai faktor menjadi titik tolak kepada misi kali ini. Faktor kawan, faktor persekitaran, faktor diri, dan sebagainya, semuanya menjadi antara punca kepada hijrah kali ini.

Alhamdulillah. Kiranya aku sudah menemui beberapa rakan yang mampu aku untuk menjalankan jihad ini. Pemilihan rakan-rakan dalam barisan menjadi sahabat-sahabatku amatlah aku titik beratkan. Kerana faktor rakan antara punca untuk seseorang mengubah diri mereka sendiri.  Pesanan Rasulullah dalam memilih sahabat, seperti yang ditegaskan dalam hadis riwayat Muslim,
“Perumpamaan berkawan dengan orang baik dan berkawan dengan orang jahat tidak ubah seperti berkawan dengan penjual minyak wangi atau tukang tiup api di bengkel tukang besi. Jika berkawan dengan penjual minyak wangi, adakalanya kita akan dipalit minyak wangi, atau kita beli daripadanya, atau setidak-tidaknya dapat mencium harumannya. Jika berkawan dengan peniup api, adakalanya pakaian kita boleh terbakar atau setidak-tidaknya pasti tercium bau busuk.”

Faktor persekitaran banyak mengajar aku dalam menghadapi mehnah dan tribulasi untuk sentiasa istiqomah dalam perjuangan ini. Ini merupakan ujian yang mana aku melihat masyarakat semakin buntu. Carca marba dalam segenap kehidupan. Bukan sekadar mereka malah aku sendiri keliru. Umpama tiada penawar jika kita tidak berusaha mencarinya. Biarpun mencegah lebih baik dari mengubati, tetapi penyakit ini sudah lama dipendam dan sudah tidak mampu untuk dicegahnya. Berharap mempunyai penawar untuk diubati.

Islam mengajar kita menjaga akhlak. Rasulullah SAW mengajar umatnya dengan akhlak dan dengan senang hatinya kebanyakkan kaumnya menerima ajaran Islam. Rasulullah tidak membawa Islam, tetapi membawa akhlak pekerti yang mulia sehingga menjadi antara orang pertama dalam senarai TOP 100 Famous People in the World.

Apa yang boleh kita ambil iktibar adalah dengan menjaga akhlak sudah mampu untuk kita menjaga agama Islam ini. Kebanyakkan orang Barat yang memeluk Islam memeluk agama Islam tidak melihat kepada orang Islam, namun melihat setiap apa yang telah diajar kepada Nabi Muhammad SAW iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Ini telah menunjukkan bahawa contoh Rasulullah adalah yang terbaik. Jika dilihat kepada akhlak umat Islam kini, sudah tentu mereka tidak akan memeluk Islam.

Dengan menjadikan akhlak baginda Rasulullah SAW sebagai contoh, akan menjadikan Islam lebih indah. Ini yang diajar Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Sempena Tahun Baru Maal Hijrah 1433H, dengan ini aku akan mengubah diriku supaya mentaati perintah Allah dan meninggal larangannya sejajar dengan firman Allah:

"Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka)? Dan janganlah mereka (menjadi) seperti orang-orang yang telah menerima Kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras, dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik."                [Surah Al-Hadid, 57:16]

“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu Mengetahui.”
[Surah At-Taubah : 41 ]

bahan bacaan:
1) http://mahatera.blogspot.com/2011/04/jauhilah-maksiat.html
2) http://mohamadkhirjohari.blogspot.com/2011/10/jauhilah-maksiat-saat-sendirian.html

Ya Allah, tunjukilah kami jalan yang lurus.  Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

No comments:

Post a Comment